Serambi Dakwah

IconMusafir di bumi Ilahi, aku singgah untuk menuntut ilmu untuk meneruskan perjalanan yang masih panjang.....

Hukum Forex dan perihal pasaran modal (capital market)


Terlalu ramai yang menghantar pesanan ringkas ‘sms’, email, telefon dan bertanya kepada saya berkenaan Pelaburan Swiss Mutual Fund atau swiss cash atau yang sepertinya, sehingga memaksa saya memperuntukan sedikit waktu saya bagi menulis jawapan ringkas ini. Saya sedar sebenarnya amat sukar bagi meringkas jawapan kerana setiap penerangan hanya akan mampu difahami sekiranya si pembaca mempunyai asas Shariah dan instrument kewangan moden yang memuaskan.

Saya telah menyemak investment plan bagi pelaburan Swiss mutual Fund dan mendapati bahawa ia adalah sebuah pelaburan beroreintasikan system konvensional dan Riba yang terlarang. Ia amat nyata apabila tiada satu pun maklumat di dalam web tersebut yang memberitahu bahawa pelaburannya ditadbir urus menurut kehendak Shariah, tiada juga disebut nama-nama penasihat Shariah.

Sebagaimana diketahui oleh korporat dan umum; Syarikat, Badan pelaburan dan pengurus kewangan di Barat sentiasa bersifat professional dalam iklannya bagi menonjolkan apa jua jenis dan kelebihan yang ada pada mereka. Justeru, jika mereka mengurus secara Islam, sudah pasti mereka akan menghebahkan dengan jelas bahawa mereka adalah sebuah syarikat pelaburan yang menurut prinsip-prinsip Shariah, di samping itu, suatu kemestian bagi sesebuah syarikat pelaburan untuk menyiarkan nama-nama panel penasihat Shariahnya bagi menarik keyakinan orang ramai. Bagaimanapun, jika di lihat di dalam web pelaburan swiss ini, tiada satu pun yang menonjolkan imej ini, malah apa yang saya perolehi menunjukkan ia amat bertentangan dengan ciri-ciri pelaburan Islam samada dari sudut penggunaan ‘terminologi’ pelaburannya, mahupun bentuk cara ia menjana keuntungan.

Lebih jelas dari itu, jika pembaca meninjau kepada ruangan “Frequently Asked Questions” (FAQ) yang terdapat di dalam web mereka juga tiada satu perkataan dan soalan pun yang berkaitan tentang keislaman produk mereka ini. Semua ini, tanpa perlu mengkaji dengan lebih dalam pun sudah mampu diketahui akan tidak menepati Shariahnya pelaburan mereka ini.



Adapun, jika pembaca inginkan penjelasan lebih terperinci akan cara yang digunakan oleh pelaburan Swiss, saya kira ia amat jelas. Sebagai sebuah syarikat pelaburan berasaskan konvensional dan riba yang sentiasa mempromosi keuntungan yang luar biasa sebagai satu-satunya alat penarik. Pelaburan yang dilakukan pastinya menggunakan instrumen-intstrumen yang terlibat dengan riba, gharar dan perjudian, tanpa sebarang pertimbangan. Antara instrumen yang digunakan adalah (ia terkandung samada tersirat dan tersurat di dalam ‘investment plan’ nya yang di paparkan di halaman webnya iaitu http://www.swisscash.biz/Web/sff_sip.aspx) sebagaimana berikut :-

a) Hedging (Lindung Risiko Perubahan Nilai matawang): Ia biasanya digunakan oleh industri import eksport yang melibatkan penggunaan matawang yang berbeza. Ia digunakan bagi memastikan perubahan nilai matawang tidak memberi kesan amat buruk kepada pembeli jika nilai yang yang dguna (cth ringgit) jatuh teruk. Yang mana jika ini berlaku, pihak pembeli terpaksa menanggung kos berkali ganda. Justeru, salah satu cara yang biasa digunakan adalah ‘hedging’. Instrument ‘hedging’ ini juga boleh digunakan untuk mendapatkan keuntungan dalam perdagangan spekulasi matawang. Menurut Fatwa oleh ulama Shariah antarabangsa, ‘hedging’ hanya dibenarkan bagi tujuan pertama di atas (iaitu untuk melindungi penjual dan pembelian asset sebenar dari risiko perubahan nilai matawang sahaja).

Ia adalah salah satu resolusi Persidangan Kewangan & Perbankan Islam Al-Barakah bernombor 6/27 dari persidangannya yang keenam tarikh 2-6 Mac 1990 bertempat di Algeria. Adalah amat jelas, ‘hedging’ merupakan salah satu instrument yang diguna oleh pelaburan swiss ini bagi mendapatkan keuntungan. Secara terang-terang boleh kita simpulkan, pelaburan ini pasti akan terlibat dengan elemen perjudian, spekulasi berlebihan yang bersifat judi serta tidak menurut bentuk yang diterima oleh Shariah, iaitu hanya untuk tujuan menghalang risiko dan bukannya mencari keuntungan.

b) Forex (Foreign Exchange) atau yang lebih dikenal dengan Perdagangan Mata wang Asing; Ia merupakan suatu jenis perdagangan/transaksi yang memperdagangkan matawang suatu negara terhadap matawang negara lainnya yang melibatkan pasar-pasar matawang utama di dunia selama 24 jam secara berterusan.

Benar, memang FOREX matawang adalah diharuskan, tetapi keharusannya tertakluk kepada sejauh mana ia menurut garis panduan yang dikeluarkan dari hadith Nabi yang sohih. Iaitu :-

Dalam menukar wang dengan wang, Nabi telah menyebut garis panduan yang mesti dipatuhi iaitu : Ditukar (serah dan terima) dalam waktu yang sama ia disebut dalam hadis sebagai "yadan bi yadin". Dalam bahasa Inggerisnya adalah "on the spot basis". Ia datang dari hadis :’

الذهب بالذهب , والفضة بالفضة , والبر بالبر , والشعير بالشعير , والتمر بالتمر , والملح بالملح , مثلاً بمثل , سواء بسواء , يداً بيد , فإذا اختلفت هذه الأصناف فبيعوا كيف شئتم

Ertinya : Emas dengan Emas ( ditukar atau diniagakan) , perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam mestilah sama timbangan dan sukatannya, dan ditukar secara terus ( pada satu masa) dan sekiranya berlainan jenis, maka berjual-belilah kamu sebagaimana yang disukai” ( Riwayat Muslim, no 4039 no hadith , 11/9 ) .

Untuk makluman : FOREX dalam matawang yang diuruskan oleh konvensional tidak menjaga syarat ini maka ini menjadi Riba Nasiah. Ini kerana kebanyakan FOREX yang dijalankan oleh institusi Konvensional adalah ‘Forward FOREX’ atau Forex yang menggunakan ‘Value forward’ ( nilai masa hadapan) yang mempunyai tergolong dalam Riba Nasiah. Forex yang menggunakan nilai ‘Forward’ ini sememangnya diketahui mampu menghasilkan untung yang lebih berbanding spot dalam kebanyakan keadaan jika tepat penggunaannya.

Mestilah terdapat serah terima atau disebut “qabadh” dalam Islam secara benar “hakiki” atau “hukmi” pada waktu yang sama. Masalah dalam implementasi FOREX adalah bertangguh dalam penyerahan dari kedua-dua pihak. Tatkala itu aqad menjadi batal (Radd al-Muhtar ala ad-durr, 4/531).

Untuk makluman : FOREX yang diuruskan oleh konvensional juga tidak menjaga syarat ini lalu ia batal dan termasuk dalam bab menjual sesuatu sebelum memilikinya yang di haramkan oleh Nabi SAW.

Selain itu, FOREX juga amat terdedah kepada unsur spekulasi berlebihan yang boleh menyebabkan ia termasuk dalam katergori perjudian. Walaubagaimanapun, tidak di nafikan unsur ini agak sukar untuk di tetapkan kadarnya.

Tidak saya nafikan, bahawa terdapat sesetengah Bank-bank Islam juga ada yang melakukan forex ini setelah mendapatkan kelulusan Majlis Penasihat Shariah mereka, kebanyakan mereka melakukan FOREX jenis SPOT dan bukannya jenis ‘Forward’ ; apa yang pasti, sudah tentu majlis Shariah telah meletakkan beberapa syarat dan bukannya secara bebas begitu sahaja. Berkenaan pelaburan swiss yang diuruskan oleh badan Konvensional, maka sudah tentu ia tidak meletakkan sebarang perhatian kepada syarat-syarat yang di tentukan Shariah.

Pemain-pemain forex kelihatan bersungguh cuba mempertahankan keharusannya, pelbagai fatwa di momokkan kepada saya, fatwa dari Jabatan Mufti Perak, fatwa seorang penasihat Shariah sebuah bank Islam dan lain-lain. Hakikatnya, semua fatwa keharusan adalah tertakluk kepada syarat di atas dan bukannya secara mutlak. Secara mudah, bagi saya anda perlu memastikan siapa yang menguruskan transaksi ‘permainan’ forex anda, adakah sebuah institusi kewangan Islam atau konvensional?; Jika institusi kewangan Islam, penasihat Shariah akan menanggung tanggungjawab, justeru, ia adalah harus bagi orang awam selagi penasihat Shariah ini mengatakannya harus.

Bagaimanapun dalam hal pelaburan Swiss yang menggunakan FOREX sebagai instrumennya ini, ia sudah ternyata sebagai sebuah institusi kewangan konvensional dan kapitalis. Sesebuah institusi kewangan konvensional sudah pasti akan menggunakan instrument forex tanpa sebarang ikatan syarat yang ditetapkan Shariah di atas. Tanpa syarat itu, transaksi antara matawang dengan matawang secara tangguh akan menghasilkan ‘Riba an-Nasiah’ yang diharamkan secara sepakat oleh seluruh Ulama Islam. Ia juga adalah keputusan Panel Penasihat Shariah dunia yang bernaung di bawah nama Accounting & Auditing Organization For Islamic Institutions (AAOIFI). Antara panel penasihat Shariahnya adalah Syeikh Mufti Taqi Uthmani, Prof. Dr. Syeikh Wahbah Zuhayli, Prof. Dr. Syeikh Siddiq Dharir, Syeikh Abdullah al-Mani’, Dr. Abd Sattar Abu Ghuddah, Syeikh Dr. Nazih Hammad, Syeikh Dr. Hussain Hamid Hassan, Syeikh Nizam Ya'quby, Dr. Mohd Daud Bakar, Syeikh Al-Ayashi al-Sadiq Faddad, Syeikh Dr. Ajil Nashmi dan ramai lagi

c) SWAP : Ia adalah satu perjanjian atau kontrak di antara dua pihak bagi pertukaran bertempoh bagi sesuatu asset kewangan yang khusus, asset material atau kadar faedah. Dalam beberapa kes jualan komoditi atau jualan matawang secara tangguh, ia dibuat tanpa sebarang pertukaran sebenar. (AAOIFI Shariah Standard, hlm 358)

Hukumnya menurut Fatwa kumpulan Ulama Fiqh Antarabngsa yang pakar dalam hal kewangan Islam : Haram kerana contractnya melibatkan pertukaran matawang secara bertangguh, ia adalah riba nasiah. Di sebutkan di dalam keputusan Penasihat Shariah AAOIFI :- “ SWAPS are not permitted in the forms in which they are practiced in commodity exchange” ( AAOIFI Shariah Standard, hlm 358 )



d) Options : takrifnya adalah : Satu kontrak yang mana hak diberikan (tetapi tidak menjadi kewajiban) untuk membeli atau menjual sesuatu item yang dipersetujui ( samada dalam bentuk saham, komoditi, matawang, indeks dan hutang) pada harga yang ditentukan. Tiada kewajiban bagi penempah untuk memenuhi tuntutan kontrak bagi yang membeli item yang ditempah, tetapi penjual hak item itu, wajib memenuhi tuntutan kontrak. ) (AAOIFI Shariah Standard, hlm 356).

Saya tahu takrifnya memeningkan pembaca, tetapi ia memang sukar untuk diterangkan menggunakan ayat-ayat ringkas tanpa contoh panjang lebar. Secara kesimpulan, ia juga instrumen konvensional yang diharamkan kerana ia bercanggah dengan beberapa konsep dan panduan Shariah iaitu :-

Menjual sesuatu sebelum memilikinya secara benar. Ia diharamkan berdasarkan hadis : "Jangan kamu membeli ikan dalam air, karena sesungguhnya jual beli yang demikian itu mengandung penipuan". (Hadis Ahmad bin Hambal dan Al Baihaqi dari Ibnu Mas'ud)

Unsur ‘Gharar Fahish’ (ketidak tentuan) dan perjudian yang besar. Ia timbul kerana si pembeli berhasrat untuk membeli sesuatu asset pada satu harga ditetapkan cth RM 100, dengan ramalan bahawa harga asset itu akan naik pada masa hadapan kepada RM 200. Untuk itu, si pembeli akan membyaar bayaran pendahuluan RM 10, tetapi si pembeli mempunyai hak untuk membatalkan pembeliannya jika didapati bahawa harga ramalannya tidak tercapai.

Ia juga terlibat dalam jual beli pada masa hadapan (forward) yang tidak sah menurut syara'.

Ia adalah Riba, jika item yang dijual beli adalah hutang dan matawang.

Ia juga bertentangan dengan syarat serah terima atau disebut “qabadh” dalam Islam secara benar “hakiki” atau “hukmi” pada waktu yang sama. Tatkala itu aqad menjadi batal ( Radd al-Muhtar ala ad-durr, 4/531).

Hukum Options di sebutkan oleh majlis Penasihat Shariah AAOIFI “ Options are not permitted neither with respect to their formation not trading” ( Shariah Standard, hlm 357)

e) Futures ; Menurut The encyclopedia of Britanicca, futures adalah :- “ Satu kontrak komersial yang dibuat bagi melakukan pembelian atau jualan satu asset dalam satu kuantiti yang khusus dan pada tarikh akan datang yang khusus” ( Britannica Encyclopedia, 1988, 5/65)

Ia dibenarkan oleh Shariah dengan syarat kontrak komersial yang dibuat itu hanya janji dari satu belah pihak “unilateral promise from one side”. Jika syarat ini tidak dipatuhi maka kontrak itu tidak sah menurut Shariah kerana :-

Ia dianggap aqad / kontrak jual beli pada masa akan datang. Untuk pengetahuan pembaca, Islam tidak membenarkan aqad jual beli di meterai hari ini bagi transaksi pada masa akan datang; ia tidak sah menurut Shariah. Ia menjadi semakin ketara tidak sah apabila kedua-dua pihak tidak menyerahkan apa-apa, samada asset ataupun bayarannya. ( ‘Aqd al-Bai’, Syeikh Mustafa Az-Zarqa, hlm 36)

Ianya tidak boleh sama sekali dilakukan antara matawang kerana ia akan menjadi Riba an-Nasiah (riba sebab bertangguh serah-terima). Tetapi inilah salah satu cara yang terbaik bagi pihak konvensional bagi mendapatkan untung.

Ia akan tergolong dalam jualan hutang dengan hutang “ Bai’ ad-Dayn bi ad-Dayn” yang di haramkan oleh Nabi SAW kerana faktor ‘gharar’ atau ketidak tentuan yang amat tinggi. ٍ Sebuah hadith yang lemah menyebut : “ Nabi SAW melarang dari menjual secara hutang dengan hutang” (Riwayat Ad-Dar Qutni, al-Hakim dan Al-Hakim mengatakannya sohih menurut syarat Bukhari dan Muslim). Bagaimanapun menurut Syeikh Prof Dr Muhydin Qurra Ali Dhaghi, pengharaman jual beli hutang dengan hutang adalah diharamkan melalui dalil Ijma’. (Dalil ijma; ini boleh dirujuk di dalam Naylul Awtar 5/177). Pengharamannya juga telah di putuskan di dalam resolusi persidangan ke-16, Persidangan Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia pada 5-10 /1/2002.

Apabila transaksi ‘futures’ ini dilakukan oleh sebuah Institusi Kewangan Konvensional, sudah tentu ia tidak akan menjaga displin Islam di atas, kerana itu ianya di haramkan. Malah unsur perjudian dan ketidaktentuan juga amat tinggi. Seorang ilmuan Shariah menulis :-

“ Considering the case of the basic exchange contracts, it may be noted that the third type of contract where settlement by both the parties is deferred to a future date is forbidden, according to a large majority of jurists on grounds of excessive gharar. Futures and forwards in currencies are examples of such contracts under which two parties become obliged to exchange currencies of two different countries at a known rate at the end of a known time period. For example, individuals A and B commit to exchange US dollars and Indian rupees at the rate of 1: 22 after one month. If the amount involved is $50 and A is the buyer of dollars then, the obligations of A and B are to make a payments of Rs1100 and $50 respectively at the end of one month. The contract is settled when both the parties honour their obligations on the future date.

Traditionally, an overwhelming majority of Sharia scholars have disapproved such contracts on several grounds. The prohibition applies to all such contracts where the obligations of both parties are deferred to a future date, including contracts involving exchange of currencies. “

Keputusan Majlis Penasihat Shariah dunia bagi AAOIFI menyebut dalam fatwanya : “Futures is not permitted according to the Shariah to undertakes futures contracts either through their formation or trading” (Shariah Standard, hlm 356)

f) Guaranteed Capital (jaminan wang modal tidak lupus) : Keistimewaan ini adalah tidak sah menurut SELURUH ULAMA EMPAT mazhab. Ini kerana dalam konsep Pelaburan Islam yang dikenali sebagai Mudarabah dan Musyarakah, tiada sebarang jaminan dari pengusaha bahawa modalnya terjamin. Menurut Mazhab Maliki dan Syafie menganggap kiranya terdapat dalam kontrak mana-mana pelaburan mudarabah yang mana pihak pengurus menjamin bahawa modal tidak akan lupus walau apapun keadaan berlaku (samada akibat kelalaian atau tidak), maka aqad atau kontrak itu terBATAL. (Hashiyah Ad-Dusuqi, 5/284 ; Mughni al-Muhtaj, As-Syarbini, 3/419 ). Manakala menurut Mazhab Hanafi dan Hanbali, syarat seperti ini terbatal dan kontrak adalah sah ( Bada’ as-Sanai, al-Kasani, 5/115 ; Al-Insaf, Al-Mardawi, 5/313 ) ;

Bagaimanapun pelaburan Swiss Mutual Fund ini sudah pasti lebih teruk lagi, kerana ia langsung tidak menggunakan kontrak pelaburan yang diurus menurut Shariah. Pastinya kontrak pelaburan seperti ini adalah batal menurut empat mazhab dan segala keuntungan yang diterima adalah tidak sah.

Menurut Shariah, hanya dua jenis jaminan modal di izinkan dalam aqad Mudarabah iaitu :-

>> Jaminan modal dikembalikan jika pihak ‘mudarib’ ( pengurus pelaburan) mengkhinati mana-mana isi kontrak, kecuaian yang jelas dalam pengurusan dan yang sepertinya.

>> Jaminan dari pihak ketiga dan bukannya pihak pengurus pelaburan (mudarib)

Malangnya, kedua-dua ini tidak termasuk dalam aqad pelaburan swiss.

g) Guaranteed Fixed Return : Ia tidak ubah seperti ‘Fixed Deposit’ : Fixed deposit adalah satu jenis pelaburan yang menjamin pulangan atau keuntungan dalam bentuk yang telah ditentukan secara pasti sejak awal lagi. Sebagai contoh, jika anda meletakkan duit pelaburan sebanyak RM 10,000 bagi tempoh 5 bulan, anda pasti akan diberi pulangan samada jumlah tertentu (seperti RM 5,000) atau kadar pulangan yang pasti (12 %) dari jumlah pelaburan anda. Ia telah sepakat seluruh ulama sebagai haram kerana Riba. Kaedah Fiqh menyebut : Al-Gunm Bi al-Gurmu (profit is by taking risk)ertinya : “(Bagi mendapatkan) Keuntungan (hasil pelaburan) mestilah dengan menhadapi risiko” (Some Observations on the Question of RIBA and the Challenges Facing Islamic Banking, Ibrahim F I Shihata). Justeru sebarang pelaburan dengan jaminan pulangan adalah bertentangan dengan kaedah di atas tadi.

Selain itu, sebarang pelaburan yang mempunyai elemen seperti ini adalah sebenarnya pinjaman dengan riba. Jaminan pulangan ini menjadikan ia berteraskan konsep pinjaman wang dengan faedah (interest) yang dijamin. Ia adalah haram.

h) “Equity” dan “commodities”: pastinya apabila ia di urus secara konvensional, ia akan terlibat dengan unsur-unsur perjudian.

i) Companies / pelaburan dalam syarikat-syarikat kukuh dengan jual beli saham: Sebarang syarikat yang ingin diletakkan duit pelaburan sepatutnya disemak dan disahkan terlebih dahulu oleh Panel Penasihat Shariah. Ia amat penting bagi menentukan samada syarikat itu menjalankan aktiviti yang menurut nilai Islam atau tidak. Apabila tiada sebarang panduan seperti Pelaburan Swiss ini, sudah tentu pelaburannya akan dibuat dalam apa jua syarikat, tidak kira yang terlibat dengan judi, arak, pelacuran dan lain-lain. Syarikat seperti ini sememangnya amat diminati kerana pulangannya lumyaan seperti genting di Malaysia. Bagi sebarang pelaburan di luar Negara, semua syarikat yang dilabur sepatutnya mesti disemak samada ia diluluskan oleh Dow Jones Islamic atau tidak. SIla rujuk web dow jones Islamic di http://www.investaaa.com/ atau http://www.djindexes.com/mdsidx/index.cfm?event=showHome

Kesimpulannya, AMAT SUKAR UNTUK SAYA menyokong keterlibatan Muslim dalam pelaburan jenis ini, tiada satu pun yang dibuat terbukti dan ditonjolkan diurus tadbir secara Islamik oleh Badan Pengurusan Pelaburan Swiss ini. Semuanya terlibat riba dan perjudian, maka semua untungnya samada riba atau tidak halal satu sen pun, walaupun pulangan lumayan beratus ratus peratus tetapi ia adalah haram , HARAM DAN HARAM...MANIS DI DUNIA, PAHIT DI BARZAKH DAN AKHIRAT.

Keputusan-keputusan di atas adalah menurut keputusan Majlis Penasihat Shariah oleh Accounting & Auditing Organization For Islamic Institutions atau OIC Interntional Fiqh Academy (Majma Fiqh Islami) yang dianggotai oleh ahli-ahli pakar Shariah sedunia.

Oleh: Dr Zaharuddin

 
 

Durrah binti Abdul Lahab

Durrah binti Abu Lahab adalah seorang anak yang baik. Abu Lahab adalah bapa saudara Nabi Muhammad. Nama sebenar bapa saudaranya itu adalah Abdu al-Izzi bin Abdul Muthalib.

Abu Lahab sangat benci terhadap Nabi Muhammad. Abu Lahab adalah musuh Islam yang utama. Ibu Durrah bernama Arwa binti Harb. Ibunya juga tidak suka kepada ajaran Islam. Ibunya juga tidak suka kepada Nabi Muhammad. Pernah berlaku satu peristiwa Arwa sengaja meletakkan duri-duri di atas jalan yang selalu dilalui oleh Nabi Muhammad. Walaupun begitu Nabi Muhammad tetap sabar dengan tindakan Arwa itu.

Arwa sememangnya wanita yang ingkar terhadap Islam. Dia sanggup menghabiskan harta bendanya demi menghapuskan Nabi Muhammad sehingga dia dipanggil oleh Allah dengan nama Hammalat al-Hathab yang bermakna pembawa kayu bakar.


Durrah membesar dengan pelbagai rintangan dan cabaran. Dia sering melihat kekejaman yang dilakukan oleh bapanya terhadap orang Islam. Sikap angkuh kedua ibu bapanya menyaksikan bahawa keluarganya benar-benar mahu menghapuskan Islam. Sikap angkuhnya terbukti apabila Nabi Muhammad mengajak Abu Labah beriman kepada Allah.

Abu Lahab berkata: "Sekiranya kata-kata Nabi Muhammad itu benar dan tidak salah, maka pada hari kiamat nanti saya akan tebus seluruh harta dan anak saya bagi menyelamatkan diri saya daripada seksaan api neraka". Jangkaan Abu Lahab bagi menyelamatkan dirinya daripada seksaan api neraka semuanya meleset. Allah sudah berfirman dalam surah Asyura ayat 88 dan 89 yang bermaksud: Iaitu di hari harta dan anak-anak lelaki tidak berguna kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih. Ketika Durrah semakin membesar Allah memberi petunjuk kepada dirinya. Durrah juga sering mendengar kehebatan ajaran agama Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad.

"Saya percaya segala ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad adalah benar. Islam adalah agama yang patut dianuti oleh orang yang ingin mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat," kata Durrah sendirian.

Walaupun harta kekayaan bapanya melimpah ruah, Durrah tidak termakan dengan kata-kata penghinaan bapanya terhadap Islam. Harta benda bapanya itu tidak dapat menghalang tekadnya untuk memeluk agama Islam. Akhirnya Durrah memeluk agama Islam semasa dia berada di kota Mekah. Selepas memeluk Islam, dia berhijrah ke Madinah.


Meninjau kepada kehidupan rumahtangganya, dia berkahwin dengan Naufal bin al-Haris. Hasil perkahwinan itu mereka dianugerahkan tiga anak iaitu Uqbh, al-Walid dan Abu Muslim. Suaminya terbunuh semasa perang Badar dan tidak sempat memeluk Islam. Selepas kematian suaminya itu, Durrah berkahwin pula dengan Dihyah al-Kalbi. Semasa di Madinah, Durrah mendapat tentangan daripada sekumpulan wanita yang sama-sama berhijrah ke Madinah.

Seorang wanita daripada Bani Zuraiq berkata kepada Durrah: "Awakkah anak Abu Lahab yang kejam itu?" Mengapa awak ikut kami berhijrah? Tidak ada faedahnya awak ikut kami berhijrah. Malah hijrah awak tidak mendatangkan manfaat bagi diri awak". Lalu Durrah menjawab: "Saya berhijrah bagi mendekatkan diri saya kepada Allah. Awak tidak patut berkata begitu terhadap saya. Memang benar bapa saya jahat dan kejam terhadap orang Islam. Tetapi saya tidak seperti bapa saya". Durrah agak sedih lalu meninggalkan wanita Bani Zuraiq itu. Kemudian dia berjumpa dengan Nabi Muhammad. Dia menceritakan segala apa yang berlaku kepada Nabi Muhammad. "Bertenanglah wahai Durrah," kata Nabi Muhammad.


Selepas Nabi Muhammad selesai mengerjakan sembahyang, baginda berkata kepada orang Islam yang berada di tempat itu: "Dengar sini semua. Saya tidak akan membenarkan keluarga saya diseksa atau disakiti oleh sesiapa. Kaum keluarga saya akan dapat syafaat daripada saya pada hari kiamat kelak".

Mendengar kata-kata Nabi Muhammad, wanita Bani Zuraiq itu menjadi insaf dan sedar atas kesilapannya menyinggung perasaan Durrah. Wanita Bani Zuraiq itu pun berjumpa dengan Durrah dan berkata: "Wahai Durrah saya minta maaf di atas segala kekasaran bahasa yang saya ucapkan kepada awak tempoh hari. Saya sebenarnya tidak menyangka bahawa awak adalah seorang gadis yang berhati mulia. Awak tidak seperti Abu Lahab yang kejam itu. Maafkan saya". Durrah menerima kata-kata wanita Zuraiq tersebut dan berkata: "Saya maafkan awak. Semoga persahabatan kita kekal dan diberkati Allah".

Sejarah Islam menyatakan bahawa, Durrah merupakan srikandi yang berbakat besar. Dia adalah seorang penyair daripada kalangan wanita Quraisy. Sepanjang hayatnya dia melaporkan sebanyak tiga buah hadis daripada Nabi Muhammad. Selain itu, dia merupakan wanita yang pandai menghasilkan karya sastera. Durrah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 20 Hijrah.

 
 

Huzaifah al-Yamani


Huzaifah bin Al-Yaman antara sahabat nabi yang sangat masyhur. Bapanya bernama “Husail bin Jabir Al-‘Absi Al-yamani”. Beliau merupakan “sohib As-Sir” atau penjaga rahsia nabi SAW. Memandangkan beliau adalah manusia yang disebut sebagai “penjaga rahsia nabi SAW”, menyebabkan banyak nama-nama para munafiq berada ditangan beliau. Semuanya ini disebabkan kepercayaan yang diberikan oleh Nabi kepada beliau.

Pernah suatu hari, Umar bin Al-Khattab bertanya kepada Huzaifah, apakah nama beliau antara yang tersenarai sebagai orang munafiq. Lalu dijawab oleh Huzaifah, bahawa Umar bukan dari kalangan mereka[1].

Disebabkan beliau menyimpan rahsia-rahsia nabi, menyebabkan beliau pernah menyebut;

والله إني لاعلم الناس بكل فتنة هي كائنة فيما بيني وبين الساعة
“Demi Allah, sesungguhnya aku adalah manusia yang paling banyak mengetahui dengan setiap fitnah yang akan berlaku diantaraku dan hari kiamat”

Beliau diberikan kelebihan oleh Allah, bahawa mempunyai firasat yang sangat tinggi, sehinggakan beliau mempu menafsirkan wajah manusia tentang apa yang terkandung dalam hati mereka.

Antara kehebatan firasat Huzaifah adalah, boleh dikatakan, permukiman Kufah adalah dibuka oleh Huzaifah. Ini kerana, ramai dari pemukiman Kufah berasal dari Madyan yang ketika itu ditimpa penyakit yang tidak diketahui punca. Bagi memastikan pemindahan itu tidak membawa penyakit, terlebih dahulu Umar bin Al-Khattab menghantar Huzaifah bin Al-Yaman untuk menyelidiki keadaan di situ. Huzaifah pergi ke tempat tersebut bersama seorang kawannya, iaitu Salman bin Ziyad.


Sesampai di Kufah yang ketika itu adalah padang pasir yang kosong. Menghirup udara disitu, terus difirasatkan oleh Huzaifah sebagai tempat yang tidak ada penyakit, menyebabkan disitulah bermulanya permukiman orang Arab Madyan tinggal di Kufah.

Bapa beliau yang bernama Husail bin Jabir Al-‘Absi Al-Yamani juga beragama Islam, beliau syahid dalam peperangan Uhud ekoran tersilap bunuh oleh salah seorang sahabat nabi kerana menyangka ianya adalah musyrik. Huzaifah merasa sedih dengan kejadian tersebut.

Berita pembunuhan tersilap itu dikhabarkan kepada Nabi Muhammad SAW, menyebabkan Nabi SAW dibayar diyat kepada Huzaifah. Bayaran Diyat itu diterima oleh Huzaifah, tetapi tidak digunakan untuk kegunaan peribadinya, bahkan dibahagikan kepada kaum muslimin. Keadaan inilah, menyebabkan baginda SAW bertambah sayang kepada Huzaifah.

Beliau mempunyai ketaatan kepada Rasulullah S.A.W. yang terlalu tinggi, hatta sanggup menggadaikan nyawa. Pernah berlaku dalam kejadian peperangan Ahzab (nama lain : Khandak), Nabi SAW melantik beliau menjadi pencari rahsia kuffar dengan menyelinap masuk bagi menyelidiki dan mengetahuai rahsia yang wujud dikalangan tentera kuffar. Kerja itu adalah berat, tetapi diterimanya dengan hati terbuka.


Semasa sedang menuju secara sembunyi-sembunyi ke tempat kumpulan Kuffar itu, dengan pertolongan Allah, angin kencang datang menyebabkan api pelita terpadam. Dengan terpadamnya api pelita yang mengakibatkan kegelapan, diambil kesempatan oleh Huzaifah untuk masuk dalam perkumpulan tentera kuffar.

Abu Sufyan sebagai panglima perang kuffar bimbang perkumpulan mereka dimasuki musuh, menyebabkan mengarahkan agar tentera itu memegang tangan kawannya masing-masing, lalu bertanya nama. Mendengar arahan itu, Huzaifah dengan cepat memegang tangan orang kelilingnya lalu bertanya tentang nama mereka.

Dalam keadaan gelap itu, kedengaran suara Abu Sufyan menyebut bahawa puak Yahudi Quraizah telah mengkhianati mereka menyebabkan mereka terpaksa berundur, lebih-lebih lagi dengan kedatangan angin tiupan yang terlalu kuat sehingga memporak perandakan kekuatan pertahanan mereka.

Huzaifah meninggal dunia di Madyan (sekarang : Lubnan) pada tahun 36 hijriyyah dalam umur yang terlalu tua. Beliau meninggal dunia selepas mendapat berita pembunuhan terhadap Saidina Usman bin Affan.

Semasa hampir dengan saat meninggal dunia itu, dia meminta agar sahabat-sahabat menunjukkan kepadanya kain kafan yang digunakan untuk mengkafankannya. Apabila dibawa kepadanya, dilihat kain itu jenis yang elok, lalu diminta agar kain untuk dikafankannya itu bukan kain yang jenis mahal.

Semasa saat dia mahu menghembuskan nafasnya yang terakhir, para sahabat terdengar ucapannya seperti berikut;

“selamat datang wahai Maut; kekasih tiba di waktu rindu; hati bahagia tak ada keluh dan sesalku”

Wallahu 'Alam

[1] Siyar Al-‘Alam wa An-Nubala’ : 2/364.

 
 

Solat Dhuha: Fadhilat dan Kaifiat




Dhuha menurut ahli fekah adalah waktu di antara ketika matahari mulai naik sehingga ketika matahari mulai condong. Oleh itu solat Dhuha adalah solat sunat yang dikerjakan pada waktu tersebut.

HUKUM SOLAT DHUHA

Pandangan para ulamak tentang hukum mengerjakan solat Dhuha adalah seperti berikut:

1.      Sunat secara mutlak dan dikerjakan setiap hari
2.      Sunat namun tidak didirikan setiap hari secara berterusan.
3.      Tidak disunatkan.
4.      Ianya disunatkan kerana faktor tertentu seperti bagi mereka yang tertinggal mengerjakan solat Qiyam al-Lail maka digantikan solat tersebut dengan mengerjakan solat pada waktu dhuha.

Pendapat yang paling tepat serta dipegang oleh jumhur ulamak adalah solat Dhuha termasuk amal sunat mu’akkadah dan dianjurkan untuk diamalkan secara rutin. Ini adalah kerana Rasulullah S.A.W. selalu mengerjakannya, menganjurkan para sahabat untuk mengerjakannya malah baginda pernah mewasiatkan perlaksanaannya kepada beberapa sahabat. Daripada Abu Hurairah r.a, dia berkata:

Kekasihku shallallahu ‘alaihi wasallam telah mewasiatkan kepadaku tiga perkara yang tidak akan pernah aku tinggalkan sehingga akhir hayatku; berpuasa tiga hari setiap bulan (hijrah), mengerjakan dua rakaat solat Dhuha dan mengerjakan solat Witir sebelum tidur  (Bukhari)

Walaupun wasiat ini ditujukan kepada seorang sahabat tetapi anjuran tersebut merangkumi untuk seluruh umat Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam kecuali sekiranya terdapat lafaz yang menunjukkan ianya sememangnya khusus untuk sahabat tersebut. Ternyata lafaz tersebut berbentuk umum apatah lagi baginda juga pernah mewasiatkan perkara yang sama kepada Abu Darda’radhiallahu’ anh, dia berkata:

Kekasihku shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mewasiatkan kepadaku tiga perkara yang tidak akan pernah aku tinggalkan sehingga akhir hayatku; berpuasa tiga hari setiap bulan (hijrah), mengerjakan solat Dhuha dan tidak tidur sebelum  mengerjakan solat Witir. (Muslim)

KELEBIHAN MENGERJAKAN SOLAT DHUHA

Ianya Amalan Berbentuk Sedekah

Bagi setiap anggota sendi serta ruas-ruas tulang perlu mengeluarkan sedekah bagi menunjukkan ketaatan kita kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Justeru itu solat Dhuha adalah amalan yang dapat menunaikan tanggung jawab tersebut. Daripada Abu Dzarr r.a., daripada Nabi S.A.W., baginda bersabda:

Bagi tiap-tiap ruas dari anggota tubuh salah seorang di antara kalian harus dikeluarkan sedekahnya setiap pagi hari. Setiap tasbih (Subhaanallah) adalah sedekah, setiap tahmid (Alhamdulillah) adalah sedekah, setiap tahlil (Laa Ilaaha Illallah) adalah sedekah, setiap takbir (Allahu Akbar) adalah sedekah, menyuruh untuk berbuat baik juga sedekah, dan mencegah kemungkaran juga sedekah. Dan semua itu boleh diganti dengan dua rakaat solat Dhuha. (Muslim)

Allah Memberi Rezeki Yang Cukup Sepanjang Siang Hari

Bagi mereka yang mengerjakan solat Dhuha Allah Subhanahu wa Ta’ala sentiasa mencukupkan segala keperluan seseorang sepanjang siang hari. Daripada Nu’aim bin Hammar, dia berkata: Saya pernah mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda Allah Azza Wa Jalla berfirman:

Wahai anak Adam, janganlah engkau sampai tertinggal untuk mengerjakan solat empat rakaat pada permulaan siang (waktu Dhuha), nescaya Aku akan memberi kecukupan kepadamu sampai akhir siang. (Abu Dawud)

Mendapat Pahala Sebagaimana Mengerjakan Haji Dan Umrah

Barangsiapa mengerjakan solat Subuh secara berjemaah lalu sesudah itu dia tetap duduk (di masjid) untuk berzikir kepada Allah sehingga matahari terbit (dan meninggi), kemudian solat (Dhuha) dua rakaat maka dia akan mendapat pahala sebagaimana pahala haji dan umrah. Dia berkata (Anas), Rasulullah bersabda: Yang sempurna, Yang Sempurna, Yang Sempurna. (al-Tirmidzi)



TATACARA PERLAKSANAAN SOLAT DHUHA

Waktu Mengerjakan Solat Dhuha

Waktu untuk mengerjakan solat Dhuha adalah sewaktu matahari mulai naik iaitu sebaik sahaja berakhirnya waktu yang diharamkan solat setelah solat Subuh (28 minit setelah waktu Syuruk) sehingga sebelum matahari condong atau tergelincir ketika tengahari (10 minit sebelum masuk waktu Zuhur atau untuk lebih berhati-hati laksanakannya sebelum 15 minit). Menurut Syaikh al-‘Utsaimin di dalam Asy-Syarhul Mumti’:

Jika demikian, waktu solat Dhuha dimulai setelah keluar dari waktu larangan solat pada awal siang hari (pagi hari) sampai adanya larangan saat tengah hari.

Jumlah Rakaat Solat Dhuha

Jumlah rakaat solat Dhuha paling minimum adalah dua rakaat dan ia boleh dikerjakan tanpa batasan jumlah rakaat yang tertentu. Sebelum ini penulis telah memaparkan hadis-hadis berkaitan solat Dhuha yang dilaksanakan dengan dua dan empat rakaat. Berikut adalah dalil yang menunjukkan ianya juga boleh dikerjakan dengan sebanyak enam, lapan dan dua belas rakaat.

Daripada Anas bin Malik r.a. bahawasanya Nabi S.A.W. pernah mengerjakan solat Dhuha sebanyak enam rakaat (Tirmidzi)

Daripada Ummu Hani’, dia berkata: Pada masa pembebasan kota Makkah, dia bertemu Rasulullah S.A.W. ketika baginda berada di atas tempat tertinggi di Makkah. Rasulullah S.A.W. beranjak menuju tempat mandinya lalu Fathimah memasang tabir untuk baginda. Selanjutnya Fathimah mengambilkan kain dan menyelimutkannnya kepada baginda. Setelah itu baginda mengerjakan solat Dhuha sebanyak lapan rakaat (Bukhari)

Dalam riwayat al-Thabarani daripada hadis Abu Darda’ secara marfu’ disebutkan: Barangsiapa solat Dhuha dua rakaat, maka tidak ditulis sebagai orang-orang lalai, barangsiapa solat Dhuha empat rakaat maka ditulis sebagai orang-orang yang bertaubat, barangsiapa solat Dhuha enam rakaat, maka dicukupkan untuknya pada hari itu, barangsiapa solat Dhuha lapan rakaat, maka ditulis dalam golongan ahli Ibadah, dan barangsiapa solat Dhuha dua belas rakaat maka dibangunkan untuknya rumah di syurga. – rujuk Fathul Baari, jilid 6, ms. 349 ketika al-Hafidz mensyarah hadis Shahih al-Bukhari no: 1176. Namun status hadis ini diperselisihkan olah para ulamak hadis. Musa bin Ya’qub al-Zami’i yang terdapat dalam sanad hadis ini telah didha’ifkan oleh Ibnu al-Madini namun dinilai tsiqah pula oleh Ibnu Ma’in dan Ibnu Hibban. Al-Hafidz sendiri berkata sanad hadis ini lemah namun diperkuatkan oleh hadis Abu Dzar yang diriwayatkan oleh al-Bazzar hanya sahaja sanadnya juga lemah dan apa yang lebih tepat hadis ini dha’if. Wallahu’alam.

Berkaitan dengan dalil yang menunjukkan jumlah rakaat solat Dhuha ini tidak ada batasan yang tertentu adalah:

Daripada Mu’adzah, dia berkata: Aku bertanya kepada ‘Aisyah: Berapa rakaat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengerjakan solat Dhuha?
Dia menjawab: Sebanyak empat rakaat lalu baginda menambahnya lagi menurut yang dia kehendaki. (Muslim)

Ringkasan Tatacara Mengerjakan Solat Dhuha

Rakaat Pertama
1)      Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Dhuha
2)      Takbiratul Ihram
3)      Doa Iftitah
4)      Membaca surah al-Fatihah
5)      Membaca Surah al-Qur’an
6)      Rukuk
7)      Iktidal
8)      Sujud
9)      Duduk antara dua sujud
10)    Sujud kali kedua
11)    Bangun untuk rakaat kedua

Rakaat Kedua
1)      Ulang seperti rakaat pada pertama dari nombor (4) hingga (10)
2)      Duduk untuk tahiyyat akhir
3)      Memberi salam ke kanan dan ke kiri

 
 

Kelebihan Istighfar

Selalu sahaja kita dianjurkan untuk beristighfar jika melakukan sesuatu kesalahan. Cukuplah sekadar lafaz Astaghfirullah, dan kemudian kita melalui kehidupan seperti biasa. Itulah hakikatnya makna yang tersirat istighfar bagi orang-orang yang lalai. Hanya sekadar lafaz tanpa mendalami makna Istighfar tersebut. Ma maqna Istighfar? Yakni memohon keampunan daripada Allah Azza Wajalla dan ia dilakukan bagi pembersihan dari segala dosa dan kesalahan. Sesungguhnya, keampunan itu adalah untuk memelihara diri daripada keburukan dosa-dosa yang dilakukan.

Menurut segolongan ulama, “Setiap doa yang memohon keampunan Allah, maka ia adalah istighfar”

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 199:

“Dan kamu mohonlah keampunan daripada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Tahukah kita akan keajaiban disebalik istighfar itu?

“Daripada Ibni Abbas Radiallahu Anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Sesiapa yang selalu beristighfar nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberi rezeki tanpa diduga olehnya”. (Riwayat Al-Imam Abi Daud)

Hadis di atas jelas nyata menunjukkan tuhan memberi rahmat kepada yang mereka yang suka beristighfar. Selain dari beristighfar dari melakukan dosa, ianya zikir untuk yang paling cukup bermakna, untuk mengingatkan kita agar tidak terjebak dari melakukan dosa. Sedangkan Nabi juga sentiasa beristighfar  seperti dalam hadis ini :

Ibnu Umar menceritakan, kami pernah bersama-sama dengan Rasulullah dan kami mendengar Rasulullah mengulang-ulang membaca sebanyak 100 kali doa yang berbunyi: “Ya Allah ampunilah aku dan terimalah taubat ku, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Pengasih.” (Hadis Riwayat Abu Dawud, Tirmidzi dan Ibnu Majah, disahihkan oleh Imam Tirmidzi)



Nabi yang maksum yang terpelihara dari segala dosa pun sentiasa melafazkan taubat, sedangkan kita yang sukar dari melarikan diri untuk tidak berbuat dosa amat sukar untuk melafazkan istighfar. Sedarkah kita, segala kesulitan yang kita terima adalah hasil dosa-dosa yang kita lakukan, hanya taubat dapat mengatasi rasa sulit tersebut.

Terdapat dua jenis musibah, yakni musibah yang menguji benteng keimanan kita, atau musibah untuk memberi balasan atas dosa-dosa yang kita lakukan. Jika menguji benteng keimanan kita, itu bermakna tuhan sayang kita, dan kepadaNya kita berserah, memohon keredhaan. Kerana kita akan sentiasa di uji, tidak kira masa, seperti mana firman Allah :

Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman”, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya ALLAH mengetahui yang manakah orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui siapakah orang yang dusta.”(Surah al-Ankabut: 2-3)

Tetapi bagi Musibah azab, inilah yang paling dahsyat, jika kita belum sempat bertaubat, maka yang menanti kita di alam lain hanyalah seksaan dariNya. Tetapi bagi mereka yang sentiasa beristighfar, Allah sama sekali tidak memberi musibah berbentuk azab, seperti mana firmanNya:

“Dan Allah tidak sesekali mengazab mereka, sedang kamu berada di antara mereka. Dan tidaklah pula Allah akan mengazab mereka sedang mereka meminta ampun.” (Surah Al-Anfal, ayat 33).

Tahukah kita kelebihan yang terbesar di dalam istighfar? Mari kita hayati terlebih dahulu maksud-maksud firman Allah.

“Maka aku (Nuh) katakan kepada mereka: Mohonlah ampun kepada Tuhanmu. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan memperbanyakkan harta dan anak-anak kamu, mengadakan kebun-kebun dan sungai-sungai untuk kamu.” (Surah Nuh ayat, ayat 10-12).

“Dan orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah lalu memohon ampun atas dosa mereka dan siapakah lagi yang dapat mengampuni dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu sedang mereka mengetahui. Balasan bagi mereka ialah ampunan Allah dan syurga yang mengalir di dalamnya sungai dan itulah sebaik-baik pahala bagi orang yang beramal.” (Surah Ali Imran, ayat 135-136).


“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya. Nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (secara terus menerus) kepada kamu.” (Surah Hud, ayat 3)

Demikian telah jelas dan nyata, bahawa dengan bertaubat, insyaAllah akan dikurniakan rahmat dariNya.

Kita lihat kembali hadis sebelum ini :

“Daripada Ibni Abbas Radiallahu Anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Sesiapa yang selalu beristighfar nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberi rezeki tanpa diduga olehnya”. (Riwayat Al-Imam Abi Daud).

InsyaAllah, makbul doa kita jika sentiasa terus menerus beristighfar kepadanya. Untuk merungkaikan kefahaman kelebihan istighfar, lihat sahaja kisah mengenai Ahmad bin Muhammad bin Hanbal Abu ‘Abd Allah al-Shayban yang cukup terkenal dengan nama mazhabnya, iaitu mazhab Hanbali.

Suatu ketika itu, Imam Ahmad singgah di sebuah tempat yang kebanyakan mereka tidak mengenalinya (kurangnya teknologi ketika itu). keadaan sudah larut malam dan Imam Ahmad merasa letih dan ingin tidur didalam sebuah masjid. Tapi niatnya tidak kesampaian kerana penjaga masjid tersebut melarang Imam Ahmad untuk tidur di masjid. Imam Ahmad kemudian bertanya kepada penjaga tersebut sama ada dia dibenarkan untuk tidur di luar masjid, penjaga itu melarangnya. Imam Ahmad bertanya lagi jika dia tidak tidur, tetapi hanya berdiri di perkarangan masjid, penjaga itu melarangnya lagi. Penjaga itu kemudian menolak Imam Ahmad dari masjid tersebut.

Seorang pembuat roti ternampak kelakuan antara Imam Ahmad dan penjaga masjid tersebut. Setelah jelas akan situasi Imam Ahmad, maka si pembuat roti mempelawa Imam Ahmad untuk bermalam sahaja dirumahnya. Imam Ahmad menerima pelawaan tersebut.

Ketika Imam Ahmad hendak tidur, dia terdengar zikir istighfar dari si pembuat roti yang sedang sibuk membuat rotinya. Imam Ahmad mendengarkan zikir itu sehingga boleh dikatakan si pembuat roti itu berzikir istighfar sepanjang malam.

Paginya Imam Ahmad bertanya kepada si pembuat roti mengapa dia beristighfar. maka si pembuat roti menjawab, “Setakat ini segala doa saya dikabulkan Allah melainkan satu perkara sahaja belum lagi”.

Imam Ahmad bertanya “Apakah doa kamu yang belum di perkenankan oleh Allah itu?.

Jawab lelaki itu ” Saya berdoa agar dipertemukan dengan Imam Ahmad bin Hanbal”

Maka kata Imam Ahmad : ” Saya lah orangnya, Akulah Imam Ahmad Bin Hanbal, demi Allah, sesungguhnya aku telah diseret untuk menuju kepadamu.”

Lihat sahaja betapa agungnya kuasa Allah memakbulkan doa si pembuat roti itu untuk menemukan dia dengan Imam Ahmad. Berkat Istighfar yang sentiasa dilakukan dengan hati yang ikhlas, tuhan telah memakbulkan doa si pembuat roti tersebut. Nyata kelebihan Istighfar begitu besar buat kita, dan ikhlaskan hati kita untuk beristighfar kepadaNya, insyaAllah, Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang.

 
 

Hari Kekasih

1.  Memadu kasih antara dua insan lelaki dan perempuan adalah antara nikmat anugerah Allah swt kepada ummat manusia. Malah kasih dan cinta yang berputik lalu berbunga dan berbuah inilah menjadikan bumi ini meriah dengan penghuninya. Namun Islam tidak menetapkan hari-hari tertentu untuk meraikannya.

2. Adam dan Hawa pernah memadu kasih. Sunnah mereka berdualah menjadi fitrah ummah yang tidak mungkin boleh dipadam. Lantas Islam dibawa datang dari tuhan yang sama dengan tuhan yang telah mencipta manusia lalu menyatukannya dengan kasih dan cinta, malah tuhan yang sama jua telah menyusun kehidupan ini dengan penuh sistematik agar cinta tidak bernoda dan kasih tidak menjadi tragedi.

3. Islam mensyariatkan institusi perkahwinan untuk meluruskan kasih dan cinta. Justeru itu, Islam mengizinkan lelaki dan perempuan saling membina perasaan, memupuk rasa kasih serta memekarkan bunga cinta antara mereka selama mana mereka tidak membiarkan syaitan dan iblis menjadi perantara  yang menjerumuskan hubungan mereka ke lembah maksiat dan mungkar.

4. Anak-anak muda muslim dan muslimah boleh meraikan kekasih hati mereka terutama mereka yang telah berada diambang perkahwinan, samaada sempena hari kekasih ataupun pada hari lebaran yang  lain selama mana mereka memelihara adab dan akhlak Islam.  Antaranya :

a] pastikan tidak berdua-duaan, sebaliknya ditemani mahram
b] tidak mendedahkan aurat apatah lagi berpakaian seksi
c] tidak melakukan perbuatan yang dilarang agama

5. Mereka mungkin perlu bertemu pada saat-saat tertentu dengan memelihara adab dan akhlak yang telah saya nyatakan tadi, bagi mereka saling mengenali dan menyelami isi hati mereka sebagaimana mereka perlu membincangkan rancangan masa depan  dan persiapan mereka menghadapi gerbang perkahwinan.



http://www.tiptoptens.com/wp-content/uploads/2011/01/Love-Quotes.jpg

6. Namun anak-anak muda muslim perlu elakkan budaya asing dan syiar agama lain dibawa masuk mewarnai corak dan gaya kehidupan mereka. Lantaran Islam sudah lengkap dengan tatacara dan gaya hidup yang indah dan  mendamaikan. Islam tidak pernah menghalang kemahuan dan keperluan manusia tetapi Islam memurnikan kemahuan dan mengurus keperluan mereka agar tidak terhindar dari redha Allah swt Tuhan yang mencipta mereka.

7. Meraikan kekasih hati tidak terhad kepada anak-anak muda yang belum berumahtangga, bahkan terlebih wajar ianya diraikan oleh pasangan yang sudah berumahtangga, samaada yang baru dibina ataupun yang sudah lama. Keraian tersebut boleh menyuburkan rasa kasih dan cinta yang sekian lama bersemi. Hubungan suami isteri bertambah intim dan keluarga kian erat. Terutama seorang pejuang, terlebih aula ia memiliki rumahtangga yang mendamaikan agar aksi di medan juang lebih berkesan.

8. Saya mengesyorkan, sempena hari kekasih  ataupun apa jua nama hari lebaran yang membawa maksud serupa, diraikan dengan hadiah dan ziarah. Jika melibatkan pasangan yang belum diijab kabul, pastikan 3 adab dan akhlak yang telah saya tegaskan tadi laksanakan.

9.  Tidak susahkan? hanya perlu ditemani mahram seperti adik beradik ataupun ibubapa serta berpakaian menutup aurat.  Ianya untuk keselamatan anda juga. Ingat, kita hidup di zaman yang sangat terdedah kepada kemungkinan maruah kita dicalar dan diragut dengan begitu mudah dan rakus  jika kita tidak mengambil langkah berhati-hati.

10. Saya ucapkan selamat meraikan kekasih hati anda dengan akhlak Islami. Semoga rumahtangga anda, samaada yang bakal dibina atau yang telah lama dibina akan senantiasa dirahmati dan diberkati Allah swt.

Nota: sempena sambutan Maulidur Risaalah, saya juga mengharapkan semua khasnya anak-anak muda muslim/ah meletakkan rasa kasih dan cintanya kepada Junjungan Besar Nabi kita Muhammad saw. mengatasi cinta dan kasih kita kepada manusia yang lain.

 
 

Sudahkah layak kita bergelar Dai'e




Dalam mengemudi bahtera perjuangan kita di bumi ini, harus kita pastikan kompas dan hala tuju kita sentiasa benar. Oleh itu, ahli gerakan Islam perlu sentiasa diingatkan tentang manhaj dakwah dan tidak terawang-awang dalam merencanakan program dakwah.

Ramai dikalangan para dai'e masa kini belum memahami hala tuju dakwah sehingga mereka menyangka bahawa tanggungjawab dakwah itu telah tertunai dengan menyampaikan ceramah di mimbar, menulis artikel atau menghangatkan perbincangan di ruang maya. Ada juga yang menyangka bahawa puncak kesempurnaan ahli sebuah gerakan dakwah adalah menjadi pengarah atau pekerja yang aktif dalam setiap program. Mereka ini melihat kerja dakwah dari sudut pandang yang sempit, terkongkong dalam definisi tamrin dan program semata-mata.

Sedangkan hakikat dakwah itu meluas dan sebati dalam kehidupan seorang muslim tanpa mengira tempat dan masa. Inilah perkara pokok dalam manhaj sepertimana yang telah diterangkan oleh Fathi Yakan dalam bkunya Bagaimana Kita Menyeru Kepada Islam.

Kita hanyalah berada dipinggiran medan dan belum layak bergelar dai'e jika ruang lingkup dakwah kita hanya berpusat pada tugas yang dijalankan dalam program yang dirancang sahaja. Sedang di luar program, kita masih dalam kesedaran yang lesu untuk menasihati rakan serumah sendiri, membina hubungan mesra dengan rakan sekelas, mengadakan usrah secara konsisten apatah lagi mengubah suasana keluarga sendiri yang jauh dari Islam.

Kencang dakwah kita kencang bertempat, seolah-olah kewajipan dakwah juga tertakluk kepada tempat-tempat dan masa-masa tertentu sahaja. Oleh yang demikian, sebagai jurutera-jurutera dakwah, marilah kita kembali menelaah kompas hala tuju kita.


Pengertian yang sebenar tentang tugas beramal dalam Islam seharusnya menjadi darah daging kita yang bertugas di lapangan ini. Apabila pengertian ini telah melekat sebati dalam jiwa, kita bukan sahaja akan menjadi ahli strategi dan penggerak kepada program Islam. Malahan kita sepanjang masa akan berusaha menjadi pengamal Islam yang punya akhlak yang unggul yang lidahnya berbahasa dengan kalimah Islam yang sejahtera, hatinya luhur dengan kefahaman Islam yang sebenar, dan minda yang tidak lelah memikirkan cara yang berhikmah untuk menyebarkan Islam ke seluruh alam. Demikian kaca mata kita dalam memahami manhaj dakwah.

Wahai pejuang-pejuang Islam, muhasabah. Sudahkah kita bergelar dai'e? Atau hanya sekadar nama, tanpa amal yang benar-benar mampu membuktikannya?